Tuesday, 11 August 2015

kawan dan amal

Masa aku di universiti tahun pertama, aku duduk asrama. Biasa budak-budak tahun pertama freshie ni memang macam tu. Tu pun bertahan first sem saja. Lelaki tak suka sangat duduk asrama. Rumah sewa, rumah bujang, tu yang lagi best.

Satu benda yang aku agak tak suka masa berada di asrama ni, bila masuk waktu solatlah. Dekat sangat dengan surau hostel. Lepas tu, dia ada peraturan la pula kena turun solat tiap hari kalau tak nak dibuang asrama.

Aku bab solat ni memang liat. Aku mengakulah. Tu yang aku rasa kalau boleh nak cau cepat-cepat dari asrama masa tu. Biar boleh tidur lepas Subuh tu lama sikit. Kalau solat sendiri kan cepat sikit. Kalau solat ramai-ramai ni, aduh nak kena zikirlah apa lah lepas solat.

Aku punya pemikiran masa tu memang munafik betul. Tapi, aku tengok kawan-kawan aku yang lain pun tarik selimut, tak turun solat sama macam aku juga. Yang betul-betul sivik, skema dan kira bagus saja yang turun solat.

Masa awal-awal masuk asrama, saf memang penuh. Tapi, bila dah lama sikit, kurang dah. Mula-mula saja, peraturan itulah inilah. Hangat-hangat tahi ayam. Yang memang betul-betul konsisten sajalah yang bersolat di surau.

Walaupun aku sengal, tapi aku tak adalah tak suka orang pergi solat di surau. Bagus, aku respek mereka. Sekurang-kurangnya taklah macam aku kepala tak berapa betul.

Bila aku habis sem satu, aku dan geng keluar dari asrama, cari rumah sewa. Dapatlah yang dekat dengan universiti tu. Makan pun senang. Nak keluar melepak kedai mamak pun bebas tengok bola sampai pagi pun tak ada siapa nak mengamuk. Kalau tak, duk bertekak dengan abang jaga pintu pagar kampuslah.

Bulan pertama aku duduk rumah sewa, kawan-kawan rumah sewa ni memang sekepala. Semua tak bangun solat Subuh. Solat lain apatah lagi. Aku pun rasa macam dah bukan orang Islam pula. Masjid ada saja berdekatan dengan rumah sewa tu. Tapi, memang pergi solat Jumaat sajalah. Solat-solat fardu biasa ni, harapanlah kalau nak pergi.

Suatu hari tu, aku pergi kampus macam biasa. Ada study group pula. Alahai, kena group dengan budak-budak usrah pula. Stay up sampai late night dekat asrama. Tumpang tidur di asrama sebab mereka ni kebanyakannya ada jawatan di asrama tu.

Masuk waktu Subuh, member tu kejutkan aku. Aku dengan menguapnya, mata merahnya macam malas saja bangun. Tapi, sebab aku segan dengan mereka, aku bangunlah juga. Mereka dah siap.

"Jom."

Aku tanya ke mana?

"Masjid."

Aku cepat-cepat berwuduk, tak mandi dah. Terus pakai kain pelekat yang member tu dah sediakan. Dia ajak naik motosikal dia. Pecut ke sebuah masjid.

Aku pun sampai di masjid tu. Ada la dalam dua saf. Aku pun solat Subuh berjemaah.

Masa aku solat tu, hati aku rasa tenang. Serius dowh. Tenang sangat. Dengan bayu pagi yang damai menusuk liang-liang roma. Sejuk. Bacaan imam pun sedap. Aku tiba-tiba rasa sebak.

Kalaulah aku tahu betapa bestnya solat Subuh bersama-sama di masjid ni. Mesti dah lama aku buat. Serius. Seronok. Dua rakaat rasa tak puas. Bila habis solat, zikir pun tak lama. Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali. Aku tengok jam, memang dalam 10 minit saja pun.

Aku masa doa tu, aku rasa nak menangis. Lama sungguh aku tak datang masjid untuk solat fardu. Datang solat Jumaat pun ngam-ngam habis khutbah. Aku khilaf.

Rupanya, aku salah pilih kawan. Biarpun kawan yang sivik yang tak urban, tak hipster tu tak up-to-date sangat tu nampak menjengkelkan, tapi solat mereka terjaga. Tu lagi penting. Trendy tak penting sebenarnya. Kebebasan hidup remaja pun tak penting.

Yang lebih penting, aku dan Tuhan. Kawan memang ramai. Tapi sahabat yang membawa, memacu jalan ke siratul mustaqim, jalan lurus tu tak ramai.

Pada freedom yang aku nak, hanya ada kecelaruan hidup.

Tapi, pada Allah, pada solat berjemaah di masjid, adanya ketenangan hidup.

Dunia dan akhirat.

Aku harap, bila kau baca benda ni, kau carilah kawan yang utamakan solat.

Sampai bila nak lari dari solat berjemaah? Hidup ni tak lama. Hari ini dunia, esok akhirat. Siapa tahu.

Tulusly,
— Abg Bikai

No comments:

Post a Comment

best?... mind to comment?